
Menurut pengarah program, saudara Muthanna, objektif program ini adalah untuk merapatkan hubungan sedia ada antara naqib dengan para ahli Usrah Amal masing-masing. Selain itu objektif program ini juga adalah bagi membina semula hubungan antara ahli UKJ Hulu Kelang dan Pemuda Gombak dengan bekas peserta-peserta Jambori Amal 2008, Kembara Amal 2008, Ekspedisi Bukit Tabuh 2008 serta kepada pelajar-pelajar kelas mengaji di seluruh DUN Hulu Kelang dan menurut beliau, objektif-objektif yang digariskan ini mencapai sasaran melalui progam setengah hari ini.
Bertemakan "bersama mencambah minda, mengukuh jatidiri dan memantap ukhuwwah", program setengah hari ini dianjurkan bagi mengajak remaja ini terlibat dalam program yang sihat sempena cuti persekolahan hujung tahun ini. Program dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Ketua DPPG, Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim sebelum diserahkan kepada Abang Naseem selaku Ketua Fasilitator untuk mengendalikan acara ice-breaking dan game.
Selesai permainan, Ketua Fasilitator membuat sedikit khulasoh atau ringkasan kepada permainan yang telah dijalankan, sedikit sebanyak menerangkan kepada para peserta objektif permainan tersebut dan perkaitaannya dalam kehidupan sehari-harian sebagai seorang muslim. Dan akhirnya acara yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta dan urusetia, iaitu acara mandi sungai.
Dengan cuaca yang baik dan keadaan sungai yang juga baik dan selamat, para peserta diberi masa sehingga sejam untuk bermandi-manda. Jelas kelihatan kegembiraan terpancar di wajah para remaja ini dapat berlibur dan bersantai selepas sepanjang tahun menghadap sesi persekolahan yang panjang.